Tuesday, February 3, 2009

Kaca atau Permata

ADA kalanya seseorang memiliki pasangan hidup berparas menarik tetapi cakapnya pedas lagi menyinggung.

Ada pasangannya rupawan, bahasanya sedap didengar tetapi sangat boros.

Ada pula pasangannya indah dan jimat tetapi malas beribadah.

Kerencaman dalam mencari jodoh ini pernah diibaratkan dalam satu hadis: 'Manusia itu seperti unta. Antara 100 ekor unta, sangat sulit kamu menemukan seekor yang sangat baik tunggangannya. ' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Pasangan ideal memang sukar diperolehi dalam zaman penuh dugaan.

Ada gadis yang mengeluh kerana sudah penat mencari calon suami yang berkelayakan, gagah dan lawa, tenang dan lembut serta kuat beribadah.

Ada teruna mengeluh sukar mencari calon isteri yang cantik, senang dipandang, sabar, jimat, suka beribadah dan pandai mengambil hati ibunya.

Nasihat Rasulullah saw berkenaan kekurangan yang ada pada pasangan kita: 'Hendaknya seorang Mukmin tidak meninggalkan seorang Mukminah. Kalau dia membenci suatu perangai pada diri isterinya, dia pasti menyenangi perangai yang lain.'

Pesan Rasulullah sejajar dengan firman Allah: 'Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' (An-Nisaa: 19)

Sebagai pasangan (baik suami mahupun isteri), janganlah kita membiarkan begitu saja beberapa aib atau kekurangan pasangan kita. Alasan bahawa sikap sudah begitu sejak mula - tidak boleh dipakai sama sekali.

Sikap manusia boleh diubah selagi ia sanggup merubahnya.

Suami hendaklah berdakwah kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.' (Surah An-Nahl: 125).

Dakwah paling asas adalah dengan pasangan kita sebagaimana Rasulullah saw menyampaikan kisah baginda menerima wahyu kepada isterinya, Khad ija h. Ia diikuti dengan anak-anak dan orang-orang terdekat.

Oleh itu, suami/isteri perlu menggilap cara merubah sikap pasangan dengan cara paling elok menunjukkan contoh dan hujah. Kekasaran atau pukul bantai tidak boleh dibuat untuk memaksa seseorang berubah.

Selain ikhlas dalam menasihati, penting pula ikhlas dalam menerima nasihat. Ketika kita dinasihati, hendaknya kita kendalikan serta lunakkan hati kita untuk ikhlas menerimanya

No comments:

Post a Comment